Assalamualaikum!
Setelah sekian lama blog saya ni hilang dari internet gara-gara sibuk mengandung dan beranak dan bela anak, akhirnya saya muncul kembali.
Untuk pengetahuan kawan-kawan, saya beli domain liyanahelmy.com ni pada tahun 2013. Pada tahun itu, saya gigih membuat pembacaan dengan tujuan untuk memahami kondisi anak kedua saya yang mengalami ekzema bayi.
Ekzema bayi je pun, tapi saya memang berasa sangat takut jika ia melarat kerana saya sejujurnya tidak pernah melihat kondisi seperti itu sepanjang hidup saya.
Semua hasil pembacaan saya, saya rumuskan dan rekodkan dalam blog saya ni.
2 tahun menulis blog, saya kemudiannya menyertai bengkel latihan untuk menjadi pendidik ilmu kelahiran (childbirth educator) AMANI Birth dan mula sibuk menjalani latihan sehingga berjaya mendapatkan tauliah untuk mengajar kelas antenatal AMANI Birth dan menjadi doula AMANI Birth.
Untuk pengetahuan anda, childbirth educator (CBE) dan doula adalah dua tauliah yang berbeza. CBE hanya boleh mengajar kelas antenatal, manakala doula pula tugasnya adalah menemani ibu yang sedang dalam proses hendak bersalin. Ada kawan saya yang memilih untuk hanya menjadi CBE, ada yang memilih untuk menjadi CBE dan doula. Alhamdulillah, saya mendapat tauliah untuk kedua-duanya.
Satu-satunya niat saya pada waktu itu adalah untuk mengatasi trauma kelahiran yang saya alami semasa kelahiran anak saya yang pertama dan kedua. Tiada langsung niat untuk mengajar kelas kelahiran.
Tapi Allah ada perancangan yang lebih baik untuk saya. Setelah selesai menjalani latihan dengan AMANI Birth, saya mula mendapat permintaan untuk mengajar kelas AMANI Birth terutamanya di Kelantan kerana pada waktu itu bilangan pengajar AMANI Birth sangat kecil. Maka, bermulalah fasa baru kehidupan saya sebagai “Cikgu Yan @ Cikgu Yana” yang aktif mengajar kelas AMANI Birth di Petaling Jaya, Kota Bharu dan Kuala Terengganu.
Pada pertengahan tahun 2015, saya mengandung buat kali ketiga. Kali pertama saya berjumpa doktor di klinik untuk pemeriksaan pre-natal, doktor tiba-tiba nampak sangat teruja. “Eh, awak ni mengandung twins la!”. Tak mungkin saya lupakan kenangan nampak 4 bulatan dalam skrin mesin ultrasound tu.
Gedebak gedebuk, Mac 2016 bersalinkan si kembar dan menyusukan mereka selama 2 tahun 2 bulan. Selepas bercerai susu, sempatlah saya merdeka selama setahun, sebelum tiba-tiba Allah nak bagi rezeki lagi. Penghujung 2018 termengandungkan #myiucdbaby ni pulak!
Julai 2019 bersalin, dan setahun kemudian, saya kembali semula dengan blog ini. Selama saya sibuk dengan kelas AMANI Birth dan beranak sampai 3 orang, saya terlupa nak bayar sewa domain ni, akhirnya blog saya hilang begitu saja, termasuklah segala catatan berkaitan pencarian saya dulu.
Sayang juga, tapi nak buat macam mana kan. Mujurlah ada juga kisah anak-anak yang saya sempat rakamkan dalam blog wordpress percuma sebelum saya beli domain sendiri. Boleh baca di sini.
Julai 2020, saya dapati domain ini boleh disewa kembali. Terus saya beli hosting dan “Voila! I’m back! It’s good to be back.”
InshaAllah, blog ini akan menjadi tempat saya merakamkan anekdot anak5 saya dan juga berkongsi hal ehwal berkaitan kelahiran dan AMANI Birth.
Jemput follow blog saya ye~