Dari Surirumah untuk Surirumah

Beberapa bulan yang lalu, waktu masih dalam pantang lepas melahirkan Irfan, ada seorang wanita berpangkat makcik (sebaya dengan Papa aku) datang menziarahi aku. Dia adalah dua pupu aku. Merupakan seorang arkitek dengan agensi kerajaan di Kuala Lumpur, dan kini menetap di Kota Bharu setelah berpencen.

Nak dijadikan cerita, kami berbual-bual dan mama aku menjadi pendengar, sekali sekala menyampuk sekali. Dari cerita pasal adik-adik aku, hinggalah perbualan beralih ke kehidupan aku kini. Aku cerita la lebih kurang yang aku kini menjaga anak-anak di rumah. Aku jarang menyebut perkataan surirumah, sebab sesetengah orang macam nampak surirumah tu kerja goyang kaki je. Pastu makcik tu tanya aku dulu kat universiti belajar apa? Aku jawab la sepatah, aerospace engineering. Aku separuh menyangka yang makcik tu akan memberi sokongan kepada aku, bahawa menjaga anak adalah tugas murni. Namun aku silap sama sekali. Reaksi makcik tu patut aku dah boleh agak. Kuat-kuat dia cakap, “Laaaa dok rumah je la sekarang? Hmm ruginya!” dan bebelannya berterusan lagi. Dan lebih perit di telinga aku, bila Mama aku pun menambah, “tak pernah kerja dari graduate dulu, tu la tak nak kerja, rugi sangat”.

Mujur la dia tak nampak muka aku dah berubah.

Haha ni bukan la kali pertama orang bagi reaksi macam tu pada aku. Dan bukan kali pertama juga Mama aku sendiri menunjukkan penyesalan terhadap keputusan aku untuk menjadi surirumah (padahal Mama pun surirumah jugak). Aku memang tak pernah apply mana-mana kerja (selain Tech Services MAS) mahupun menolak sebarang tawaran yang datang, sebab kalau aku kerja, sapa nak jaga anak-anak aku! Meletakkan mereka di nurseri adalah sama sekali tidak akan aku pertimbangkan. Aku pun tak pernah duduk nurseri takkan aku nak letak diorang kat nurseri pulak. Kalau Mama aku nak datang KJ tolong jaga anak-anak aku takpe jugak.

Aku terkilan juga sebab Mama macam tak pernah acknowledge apa yang aku buat masa kat UIA dulu lepas graduate. Aku sempat jadi research assistant selama 2 semester dan menjadi tutor dan grader selama satu semester. Ye la memang la it’s not a big deal sebab sekejap sangat. Macam mana tak jadi sekejap, aku berhenti tu pun untuk balik for good ke Kota Bharu dan buat persiapan kahwin. Malang sekali aku tak berminat nak sambung lagi sebab rasa penat sangat belajar dan nak beri sepenuh komitmen pada rumahtangga. Tapi sekejap pun, sempat jugak aku merasa ada akaun KWSP tau! 😛 Sempat jugak merasa dapat gaji. Dan sempat jugak hasilkan satu conference paper dalam bidang aerospace structural engineering.

(Ya Allah kenapa la rumah sebelah ni pasang lagu Tamil sekuat hati macam rumah dia je yang ada kat kawasan kejiranan ni..adoooiii)

Aku yakin, kat luar sana ada ramai surirumah yang rasa macam aku ni. Reaksi orang-orang sekeliling yang menganggap tugas surirumah ni takde value, waste of talent, jawatan yang tak patut disandang terumatanya oleh university graduate, dan macam-macam lagi yang menyakitkan hati.

Let me put it in a sentence;

Kerana ada SURIRUMAH ni di rumah lah, maka kebajikan anak-anak diyakini terjaga dengan baik, bapa-bapa dan nenek atuk mereka tidak perlu risau LANGSUNG tentang kebajikan anak cucu mereka, dan tak perlu keluar SATU SEN pun pada nursery atau babysitter, dan definitely tak perlu risau dilambung-lambung oleh bibik mahupun diberi ubat batuk supaya tidur sepanjang hari.

Tambah lagi; Waste of talent ye?

Kerana ada SURIRUMAH YANG BERKELULUSAN UNIVERSITI ni la, anak-anak kami ni terdidik dengan lebih teratur dan mendapat pendedahan dan perhatian yang lebih baik, berbanding surirumah yang tak berpendidikan.  Ibu yang bijak menghasilkan anak yang bijak.

Jawatan surirumah takde value ye?

Pahala sape yang bagi????  Yang masak, mengemas, cuci kain baju, gosok baju sume tu sape? Suami balik takde baju berlonggok, mainan anak tersusun, sape yang kemas, makanan dah terhidang, sape yang masak?  Kau? Anak-anak aku kau nak jaga?

Aku bukan nak banding surirumah dengan non-surirumah. Mesej aku ni adalah untuk orang-orang yang suka pandang enteng kerja surirumah. Kalau pandang enteng tapi simpan sendiri takpe jugak, ni sibuk nak kritik-kritik orang. Pijak kang baru tahu. Lagi ramai anak, lagi tak menang tangan dibuatnya. Walaupun surirumah tu ada bibik sekalipun, yang mengatur dan mengawasi bibik tu adalah surirumah tu jugak. Kalau dia takde, rasanya sape yang kontrol bibik tu? Itu yang selamba dilambung-lambung baby orang sampai koma tu.

Aku kecil-kecil dulu, aku suka tengok mak aku ada kat rumah hari-hari. Sebab tu aku sanggup jadi surirumah. Walaupun terpaksa mengorbankan impian aku yang paling besar. Boleh tak korang ingat, bahawa wanita-wanita yang jadi surirumah ni adalah wanita yang mengorbankan IMPIAN mereka demi melihat anak membesar dengan tangan sendiri, yang telah memilih untuk tidak membiarkan anak di bawah jagaan orang lain yang belum tentu sempurna. So jangan banyak songeh boleh tak?

Suami aku memang lagi suka aku jadi surirumah sebab dia tak perlu risau keselamatan aku, aktiviti aku, ke mana aku pergi, dengan sape..sebab dia tau aku duduk diam je kat rumah berbanding kalau aku bekerja.

Kepada member-member surirumah, jangan peduli apa orang kata. Yang penting kita tahu bahawa apa yang kita buat ni besar pahalanya di sisi Allah, dan merupakan pekerjaan yang paling murni. Kerana kita selamatkan suami kita dari banyak dosa yang kita mungkin lakukan (seorang wanita bila keluar rumah, macam-macam fitnah boleh hinggap ke atasnya). Kita juga adalah orang terbaik untuk mendidik anak-anak kita, bukan orang lain. No matter how good the nursery/the babysitter claimed she is. 

Memang la tak dapat gaji sebanyak orang yang kerja, tapi kena rajin-rajin la berdoa supaya suami selalu dapat bonus besar dan selalu dapat kenaikan gaji yang banyak. Huhuhu. Bila rezeki suami murah automatik la boleh claim lebih.

Pastu, kena la rajin memajukan diri sendiri. Buat bisnes dari rumah ke, buat kelas tusen ke, amik tempahan buat web design ke, amik tempahan buat kek ke, tempahan masakan ke, tempahan menjahit ke. Apa-apa la skill yang sesuai. Kalau rajin, memang masyuk. Dan yang paling bagus, bila anak dah besar sikit, nanti dia pun akan turut sama belajar kemahiran yang dia dok tengok ibu dia buat selalu tu.

Surirumah pun boleh buat sumbangan besar kepada bangsa dan negara tau!

Sebelum ni, setiap kali aku teringat impian aku nak kerja, aku akan teringat pada arwah ibu mertua aku. Pada hari aku dan suami ceritakan pada arwah bahawa aku ada menghantar resume ke MAS, arwah tunjuk muka yang agak sedih dan berkata, “kesian Aiman, nanti sape nak jaga dia?” Kata-kata itu sangat terkesan di hati aku, sebab aku dapat merasakan tulusnya concern yang ditunjukkan, dan aku rasa ada jugak atas bumi ni orang yang hargai peranan aku menjaga Aiman di rumah.

Kalau korang nak tahu, lepas aku hantar resume tu kan, tiba-tiba aku jadi resah gelisah, tak boleh tidur malam sebab asyik terbayang Aiman menangis kena tinggal dengan aku, pastu rasa risau sangat-sangat nak tinggal dia dengan orang lain, sampai ke tahap aku berdoa setiap kali lepas solat supaya aku tak berjaya dalam application tu. So I guess dah terang-terang la bahawa tempat aku adalah di rumah bersama anak-anak.

Because I have a choice.