Isteri Kesayangan Suami

Isteri Solehah (nyanyian oleh saff-one & nazrey johani)

Isteri cerdik yang solehah
Penyejuk mata, penawar hati, penajam fikiran
Di rumah dia isteri, di jalanan kawan
Di waktu kita buntu, dia penunjuk jalan

Pandangan kita diperteguhkan
Menjadikan kita tetap pendirian
Ilmu yang diberi dapat disimpan
Kita lupa, dia mengingatkan

Nasihat kita dijadikan pakaian
Silap kita, dia betulkan
Penghibur di waktu kesunyian
Terasa ramai bila bersamanya

Dia umpama tongkat si buta
Bila tiada satu kehilangan
Dia ibarat simpanan ilmu
Semoga kekal untuk diwariskan

Perkahwinan adalah sebuah medan perjuangan, bukan semata-mata bercintan-cintun ala-ala hindustan. It is not at all like in the movies, and is definitely not a bed of roses. Perkahwinan adalah sebuah realiti kehidupan yang penuh pancaroba, tetapi terselit sepenuh kebahagiaan yang sememangnya tidak wujud dalam dunia couple. Menjadi isteri kesayangan suami adalah impian setiap wanita yang berkahwin. Namun, status ‘isteri kesayangan’ ini bukan mudah untuk dicapai. Ia memerlukan usaha dan komitmen yang konsisten dan berterusan.

NIAT

Perkara pertama yang paling penting yang perlu ada dalam mindset setiap isteri adalah niat. Kenapa aku berkahwin? Kerana nafsu? Kerana mengikut sunnah Nabi SAW? Kerana suruhan ibubapa? Niat akan menjadi drive (pendorong) dan sumber kekuatan bagi seorang isteri setiap kali dia menghadapi dugaan atau cabaran dalam rumahtangga. Seorang isteri yang berniat untuk berkahwin kerana Allah akan melaksanakan setiap tanggungjawabnya tanpa mengharapkan balasan daripada suami, kerana dia tahu, sebaik-baik balasan itu datang dari Allah. Jika meletakkan harapan pada sesama manusia, pada suami, macam-macam boleh berlaku pada masa hadapan. Contohnya, mungkin hari ini dia berhempas pulas membantu suami, tiba-tiba esok suami curang pula. Seorang isteri yang berniat untuk berkahwin kerana Allah juga akan merujuk guidelines yang terkandung dalam Al-Qur’an dan Sunnah untuk mengendalikan rumahtangganya. Semua tips sudah diberi oleh Allah dan RasulNya. Selebihnya atas kebijaksanaan si isteri itu untuk merenung dan memikirkan cara yang sesuai untuk mengaplikasikan tips-tips tersebut dalam kehidupan seharian.

MATLAMAT

Perkara kedua yang perlu ada dalam mindset setiap isteri adalah matlamat. Matlamat perkahwinan berperanan menentukan halatuju dan destinasi sesebuah perkahwinan. Seseorang wanita yang mahu berkahwin seharusnya menetapkan matlamat mahu mewujudkan sebuah rumahtangga yang tenteram dan menenteramkan jiwa dan penuh kasih sayang, dan  mengekalkan perkahwinannya hingga ke akhir hayatnya, seterusnya hingga bertemu semula di syurga. Pendek katanya, mahu menjadi isteri yang solehah. Sepertimana firman Allah;

“Dan diantara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir.” (Ar Rum: 21). 

Pasangan suami isteri yang mempunyai matlamat sebegini akan menyedari betapa pentingnya berusaha ke arah kebahagiaan dan akan sentiasa fokus ke arah itu. Perceraian tidak akan dipilih untuk menjadi solusi mudah bagi menyelesaikan sesuatu isu dan pertelingkahan. Apabila niat dan matlamat sudah jelas, di bawah ini disenaraikan serba-sedikit tips untuk menjadi isteri kesayangan suami yang dipetik dari pengalaman orang-orang lama dan ditambah rencah-rencah yang sesuai. Semoga bermanfaat.

PERANAN ISTERI

1. Jaga suami

Makan, minum dan pakaian suami diuruskan dengan baik. Kalau tak pandai masak, seeloknya belajar, sekurang-kurangnya belajar menu kegemaran suami. Suami lebih gembira makan masakan isteri berbanding makan di kedai. Itulah cara suami menghargai isterinya.

Sentiasa belai suami. Suami yang kurang mendapat belaian akan tandus jiwanya. Oleh itu siramlah hati dan jiwanya dengan kasih sayang dan cinta yang banyak!

Jaga kehendak suami selagi tidak menyalahi hukum. Apa saja yang suami mahukan tidak boleh dipandang ringan. Itu adalah haknya.

Jaga adab sopan dengan suami. Jangan depan orang lain pandai bersopan tapi depan suami pakai hentam. Bercakap dengan lemah-lembut. Jangan sesekali meninggikan suara terhadap suami walaupun ketika bergaduh.

Jangan amalkan tabiat bermasam muka dengan suami, ini adalah tabiat yang sangat buruk. Kalau tak puas hati, suarakan dengan cara orang dewasa yang matang.

Jangan amalkan sifat ego, ini adalah sifat buruk yang tak membawa ke mana. Bila bergaduh, tangani konflik dengan penuh hikmah. Duduk berbincang. Jika suami susah diajak berbincang, cuba gunakan cara halus. Suarakan isi hati melalui surat, nota, emel, apa saja! Tapi bukan melalui orang ketiga. Urusan suami isteri mesti kekal rahsia di antara suami isteri sahaja.

Ringankan mulut untuk meminta maaf. Rendahkan ego. Walaupun tak puas hati, minta maaf dulu untuk menjernihkan suasana. Setelah suasana jernih, barulah suarakan.

Jangan jadi queen-control. Kat dunia memang seronok bila suami ikut telunjuk, tapi di akhirat nanti berat balasannya. Kalau suami buat perangai, nakal di luar dan yang sewaktu dengannya, jangan terus mengamuk. Mengamuk tak akan membetulkan keadaan. Sebaliknya, tenangkan diri, kemudian sit down and think. Jadilah wanita yang bijak dan tangani hal tersebut dengan cara yang bijak. ‘Tegur’ suami dengan cara halus. Ingat, suami adalah hak seorang isteri, bukan hak girlfriend atau skandal dia. Jangan izinkan orang lain mengambil hak kita melalui pintu belakang!

Jika hendak menegur suami, gembirakan dia dahulu. Pastikan perutnya tidak kelaparan, hatinya senang, layan dengan mesra. Confirm mudah diterima teguran itu.

Kejayaan seorang wanita adalah apabila dia mampu memenangi hati suaminya, dan menambat hati suaminya padanya, dan melenturkan ego suaminya, hanya dengan menggunakan kebijaksanaan dan kelembutan dirinya, tanpa memerlukan khidmat bomoh, pengasih dan segala karut-marut yang lain. Woman power!

2. Jaga ibubapa suami

Sayangilah mertua anda! Ibubapa suami mestilah dianggap seperti ibubapa sendiri dan diberi layanan yang baik. Ingatlah, merekalah yang telah bersusah payah melahirkan dan membesarkan lelaki yang menjadi teman hidup kita sekarang. Apabila kita melayan ibubapa suami dengan baik, sudah tentu suami juga akan melayan ibubapa kita dengan baik. Suami juga akan berasa gembira melihat kita melayan ibubapanya dengan baik, sekaligus akan menambah kasih sayang suami dan melembutkan hati suami terhadap isteri. Tak percaya? Cuba buat.

3. Jaga anak-anak suami

Tiada suami yang tidak tersentuh hati melihat betapa isterinya begitu penyayang terhadap anaknya. Kebajikan anak dijaga sebaiknya, anak yang kecil disusukan, anak yang besar dilayan dengan lemah-lembut, dipukul dengan penuh hikmah jika perlu, diberi kasih sayang, diasuh mengikut lunas-lunas Islam. Seorang isteri dan ibu mesti mengambil tahu peranan yang sepatutnya dia mainkan dalam mendidik anak-anak kerana anak adalah cerminan ibubapa. Anak-anak juga adalah masa depan bagi ibu dan bapanya. Didikan yang baik akan menghasilkan anak-anak yang mampu menjaga kebajikan kedua ibubapa di hari tua dan selepas mati, dan sebaliknya. Lihat fenomena di sekeliling kita dan renung-renungkan.

4. Jaga harta suami

Jangan bawa masuk orang ke dalam rumah tanpa izin suami, apatah lagi jika orang itu tidak disukai suami. Jangan gunakan harta suami tanpa izin, apatah lagi untuk tujuan yang tidak baik. Harta suami wajib dijaga sebaiknya. Suami sepatutnya mampu berasa tenang apabila meninggalkan rumah dan hartanya di bawah jagaan isterinya.

5. Jaga diri sendiri

Jaga maruah diri apabila suami tiada. Kalau rasa nak nakal-nakal sikit, ingat lah neraka Allah menanti isteri yang nusyuz. Kalau dah ‘ter’nakal tu, pandai-pandai la cari jalan pulang. Hidup ni bukan untuk nafsu dunia sahaja.

Keluar rumah wajib dengan izin suami. Banyak hikmahnya kenapa Islam mewajibkan isteri meminta izin suami dalam sesuatu hal. Antaranya, untuk kemaslahatan rumahtangga, mengelakkan syak wasangka suami, menjaga status suami sebagai ketua keluarga, sekiranya berlaku kemalangan atau timbul sebarang masalah, suami lebih bersedia untuk bertindak, dan sebagainya.

Penampilan haruslah kemas dan menarik di mata suami. Tiada bau yang tidak menyenangkan suami. Selain penampilan, kestabilan emosi isteri juga harus dijaga. Suami tidak suka jika dia pulang kerja keletihan dan terpaksa pula menghadap wajah isteri yang moyok kerana keletihan atau kemurungan kerana bermacam masalah. Korbankan buat sementara kekacauan emosi apabila berhadapan dengan suami. Berikan senyuman yang manis. Wajah mungkin akan kurang berseri apabila letih atau susah hati, tetapi sekurang-kurangnya senyumlah dahulu. Setelah suami settle down, barulah kongsikan dengan suami.

Kesimpulannya, menjadi isteri ni bukanlah mudah. Banyak pengorbanan yang harus dilakukan. Apabila berasa penat dengan dugaan dan cabaran, jadikanlah matlamat syurga Allah sebagai ubat. Isteri solehah itu, namanya menjadi perbualan penduduk di langit, matinya menjadi ketua bidadari di syurga. Ketahuilah bahawa pintu syurga seorang wanita itu banyak terdapat di sekitar rumahtangga, suami dan anak-anak. Alang-alang dah susah, biarlah mendapat hasil yang lumayan di akhirat yang kekal abadi, kerana Rasulullah SAW telah bersabda;

“Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.”

Rujukan menarik: Pesanan Buat Wanita