Healing Birth..

Assalamualaikum

Rasanya sejak akhir-akhir ni jarang sangat dapat tulis kat sini. Sejak Irfan dah masuk 9 bulan lebih ni, separation anxiety dia makin ketara. Tak boleh tak nampak Mama selama lebih dari 30 saat, mula la menangis macam bayi kena dera. Seriously! Sampaikan satu hari tu, aku tak senang hati nak jemur kain kat luar sebab dia dok nangis-nangis cari Mama, aku pun angkat dia ke luar dan letak atas rumput dekat dengan aku. Hmm mula-mula dia macam nak sambung nangis tapi tiba-tiba happy pulak dia. Lebih-lebih lagi bila Abang Aiman join sekali. Bayangkan la nak masak macam mana, nak masuk toilet mandi pun satu cabaran!

Malam ni, aku nak cerita pasal suatu peristiwa penting yang bakal berlaku dalam hidup aku hujung bulan ni. Untuk korang yang dah biasa baca entri aku sebelum ni, mesti korang tahu apa perasaan aku terhadap BIRTHING kan? BERSALIN. Having had two cesarean births, one of the which that was traumatic, aku memang sangat sensitif terhadap isu bersalin ni. Kerana pengalaman pertama yang perit tu, aku banyak buat research tentang proses kelahiran, dan aku join support group untuk memulihkan tekanan emosi yang aku alami. Support group adalah sangat penting. It gives you the feeling that you are NOT ALONE. Ia sangat membantu. Aku juga sebolehnya tidak mahu ada lagi orang lain yang melalui keperitan yang aku lalui.

Atas kesedaran itu, aku telah mendaftar untuk menjadi Childbirth Educator and Doula. Aku mendaftar bawah program AMANI Birth. Emm nak tahu lebih lanjut pasal AMANI Birth ni, tunggu nanti aku dah habis training OK? Tak lama pun, 3 hari je. Cuma proses untuk jadi Certified CBE and Doula tu yang ambil masa lama sikit. Nanti aku cerita lagi. Yang penting, AMANI Birth ni menggalakkan proses kelahiran alamiah (natural birthing) juga, sepertimana hypnobirthing dan lain-lain. Natural birthing ni bukan sekadar bersalin normal, tetapi ia menggalakkan ibu-ibu memahami fisiologi sebenar kelahiran, dan menggunakan hormon-hormon semulajadi dalam badan untuk melalui every stages of labour. Ia juga menggalakkan ibu-ibu mengubah persepsi dari BERSALIN ITU SAKIT kepada BERSALIN ITU INDAH. Tubuh setiap wanita itu sudah memang secara semulajadinya telah diciptakan oleh Tuhan untuk melahirkan anak. Kita sebenarnya tidak perlu di’induce’, tak perlukan epidural, bahkan dalam kebanyakan kes, tidak perlukan pembedahan untuk melahirkan anak.

Aku nak kongsikan di sini mesej dari seorang ibu yang mengusik perasaan aku. Ibu ini adalah seorang pelawat blog aku yang telah sudi berkongsi pengalamannya melalui 3 kali pembedahan untuk melahirkan anak melalui komennya di sini. Aku berasa sedih, kerana proses kelahiran itu adalah detik pertemuan pertama antara anak dengan ibu yang telah mengandungkannya selama 9 bulan. Bukankah ia sepatutnya menjadi detik yang indah? Tetapi malangnya, ada sesetengah ibu tidak berpeluang merasai keindahan itu. Termasuk aku. Sedih bila aku baca, keperitan dan kesakitan yang dilalui oleh ibu ini sewaktu kelahiran anak bongsunya, apabila bius kehilangan kesan sewaktu beliau masih sedang dijahit. Ya Allah! Aku cuma mampu merasa pilu. Walaupun aku sendiri pun dah 2 kali kena csar, aku pun tak tahu nak kata apa membaca cerita ibu ini. Dan aku sangat mengerti, walaupun luka csar itu sudah tinggal parut, trauma dan kesedihan di hati itu akan kekal sampai bila-bila. Semacam ada sesuatu yang tidak kesampaian. Kerana tiada apa yang mampu mengubat luka di hati itu. Melihat si comel itu membesar memang membantu mengurangkan kesedihan, tapi ia tetap tidak hilang dari hati. Lebih-lebih lagi kalau tiada siapa yang dapat mendengar dan memahami rintihan di hati ibu ini.

Dalam support group yang aku join tu (ICAN Malaysia/VBAC Support), aku mendengar satu terma yang sangat menarik hati, “HEALING BIRTH”. Apabila seorang ibu berjaya VBAmC (Vaginal Birth after Multiple Cesareans), kelahiran itu digelar HEALING BIRTH, kerana ibu itu seolah-olah mendapat keyakinan dan kekuatan baru. Dia telah berjaya membuktikan bahawa dia juga mampu bersalin secara normal sepertimana yang difitrahkan, sekaligus menafikan kata-kata negatif yang mereka terima sebelum ni. Korang mungkin tak tahu, tapi memang ada segelintir orang yang sangat tidak peka terhadap perasaan orang lain. Bayangkan korang tengah sakit satu badan sebab nak bangun susah, bila dah bangun, nak duduk/baring balik tu susah, pastu nak bangun balik pun susah, kalau tiba-tiba nak kena rushing pergi toilet memang masalah besar, dahla lenguh-lenguh badan masa mengandung pun tak hilang lagi, tiba-tiba boleh pulak makcik yang korang hormat selama ni datang rumah nak tengok baby dengan selambanya cakap, “hmm kau ni tak rasa la sakit beranak” ataupun “eh kau ni tak beranak normal, kurang la pahala kau berbanding orang yang bersalin normal ni, kalau mati pun tak dapat la ganjaran mati syahid”. Huhu kejam kan? Baik tak payah datang melawat la kalau mulut laser macam tu. Buat pilu si ibu jek!

Kalau korang termasuk dalam kategori ibu-ibu yang pernah melalui pembedahan cesarean, tak kira la berapa kali pun, aku memang sangat recommend korang masuk support group yang aku cerita tu. Selagi korang tak pernah buat BTL, insya Allah boleh cuba dapatkan healing birth. Yang penting kena ada ilmu pasal bersalin.

Balik kepada kisah si ibu yang aku cerita tadi, aku teringin nak recommend dia masuk group tu jugak. Supaya dia dapat berjumpa dengan orang-orang yang senasib, termasuk aku. Tapi aku fikir dua tiga kali, sebab beliau sudah dimandulkan secara kekal melalui prosedur “Bilateral Tubal Ligation” (BTL). Aku nak recommend healing birth pun, macam tak kena tempat pulak. Lantas, hanya kata-kata semangat dan doa saja yang dapat kuhulurkan buat beliau, semoga beliau dipertemukan cara untuk pulih dari ’emotional scar’ itu.

*[BTL ni adalah prosedur di mana kedua-dua tiup fallopio si ibu diikat untuk mengelakkan si ibu mengandung lagi. Ia adalah prosedur yang selalu dilakukan di hospital setelah ibu melalui 3 atau lebih pembedahan cesarean (bergantung kepada doktor). Hukumnya sebenarnya adalah haram di sisi agama. Bagaimanapun, si ibu sebenarnya boleh menolak prosedur ini. Ia adalah hak individu.]

Sekian, sambung lagi lain kali..