Cerita Kelahiran Irfan; VBAC yang Disabotaj

Dah setahun umur Irfan, tapi baru hari ni tergerak nak tulis pasal hari Irfan dilahirkan. Irfan, anak kedua aku, dilahirkan pada hari Isnin, 10 September 2012. Abang Irfan, iaitu Aiman, telah dilahirkan secara cesarean 2 tahun 4 bulan sebelumnya. Maka semestinya untuk kali ini aku mahu melahirkan Irfan secara normal pula (vaginal birth after cesarean).

Hampir 2 minggu sebelum Irfan dilahirkan, aku melihat ada ‘bloody show’, atau orang Melayu kata ‘turun tanda’. Tompokan-tompokan darah keluar selama beberapa hari, diselangi lelehan air ketuban (leaking). Namun aku tak menggelabah, kerana aku tahu bahawa belum sampai masanya untuk aku melahirkan. Aku telah belajar dari kesilapan sewaktu melahirkan Aiman, di mana aku pergi ke hospital terlalu awal, menyebabkan doktor membedah aku. Kali ini, aku belajar untuk lebih mendengar dan mempercayai naluriku.

(**Nota Pengajaran: Sesetengah orang hanya bersalin setelah beberapa hari turun tanda.)

8 September 2012

Setelah seminggu, aku mula merasakan kontraksi yang lebih kerap. Mungkin Braxton-Hicks lagi, mungkin tidak. Tapi aku layankan saja. Aku masih mampu bergelak ketawa dan membuat kerja rumah.

9 September 2012

Petang itu, aku mula merasa sakit kontraksi yang lebih kuat dan lebih kerap. Aku agak pasti kali ini bukan lagi kontraksi Braxton-Hicks. Di tengah perbualan, aku terpaksa berhenti seketika untuk menahan sakit. Tapi sakit kontraksi itu belum teratur (regular), berlaku secara rambang. Maknanya masih belum masa untuk pergi ke hospital. Aku nekad kali ini untuk tunggu di rumah sehingga betul-betul rasa sakit.

Malam itu aku tidur lebih awal kerana keletihan.

10 September 2012

Jam 2 pagi – Aku dikejutkan dari tidur oleh kontraksi yang sangat kuat. Rasa macam gempa bumi. Aku pusing ke kanan, ke kiri, semuanya tidak selesa lagi. Aku cuba duduk, berdiri, aku rasa serba tak kena. Bila kontraksi datang, aku berdiri bersandar pada tiang, berusaha menahan sakit dengan mengetap bibir. Tanganku digenggam. Allahu Akbar! Itu saja yang mampu aku sebut setiap kali sakit itu datang. Oh begini rupanya sakit kontraksi.

(**Pengajaran: Sepatutnya sewaktu sedang sakit kontraksi, jangan ketap bibir dan genggam tangan, sebaliknya buka bibir, keluarkan bunyi dan seluruh badan dalam keadaan rileks)

Jam 4 pagi – Sakit semakin kuat. Aku semakin gelisah. Aku tak dapat tidur. Aku cuba kejutkan suamiku yang lena. Dia tak sedar. Kasihan, tentu keletihan menunggu untuk membawaku ke hospital. Sejak tadi, aku cuba lupakan kesakitan dengan memasang alunan Al-Qur’an oleh Sheikh Saad Said Al Ghomidi. Kemerduan suara itu menusuk ke dalam jiwaku dan aku dapat rasakan ketenangan menusuk ke seluruh urat sarafku yang sedang menjalankan tugasnya untuk melahirkan anakku.

Jam 6 pagi – Sakit semakin kuat, aku sudah tidak mampu bertahan. Airmata laju membasahi pipi. Suara yang merdu itu sudah tidak dapat mengatasi kesakitanku. Maka aku fikir mungkin sudah sampai masanya untuk aku bersiap ke hospital. Aku pun mandi, bersolat Subuh dan menunggu suamiku bangun.

Jam 8 – Kami bertolak ke hospital yang hanya 5 minit dari rumahku. Setibanya di hospital, aku meminta pada misi di kaunter hadapan untuk masuk ke dalam bilik bersalin untuk menjalani CTG. Di bilik bersalin, aku dimaklumkan bahawa doktor aku belum sampai. Dalam hati aku rasa gembira, kerana sedikit sebanyak naluri aku merasa kurang enak dengan doktor itu. Aku menerima kehadiran doktor ganti dengan hati yang terbuka.

Entah kenapa, sewaktu aku menjalani CTG, kesakitanku hilang. Misi datang dan memeriksaku. Sudah 8 cm katanya. Aku sangat gembira. Aku fikir, dah 8 cm, tak mungkin mereka akan cser aku lagi. Cerahlah harapan aku untuk berjaya VBAC. Aku berasa gembira. Doktor ganti itu juga sangat baik dan lemah lembut orangnya. Beliau mengesahkan yang aku sudah mencapai 8 cm. Aku semakin positif!

Jam 10 pagi – Doktor aku tiba-tiba muncul di muka pintu bilik bersalin. Serentak itu, aku rasakan harapan aku tergugat. Beliau memeriksaku. “Bayi awak dalam kedudukan OP, boleh jadi sebab awak ada CPD, pelvik awak kecil, kita kena bedah awak.” Aku rasa marah, namun aku cuba mengawal suasana. “Saya tetap nak cuba normal juga doktor.” “Tak boleh, saya takut nanti bahu bayi awak tersangkut.” Malang sekali kerana beberapa hari sebelum tu, aku ada membaca artikel tentang ‘shoulder dystocia’, iaitu bahu bayi tersangkut di pelvik ibunya dan terpaksa dipatahkan untuk membolehkan bayi itu lahir. Ia boleh menyebabkan kecacatan kekal pada bayi.

Semestinya aku tidak mahu ia berlaku kepada anakku. Aku tidak mahu mengambil risiko itu. Walaupun di suatu sudut hatiku, aku merasakan doktor itu cuba mengambil kesempatan, aku tetap tidak mahu mengambil risiko. Sejujurnya, secara tiba-tiba aku tidak yakin dengan kemampuan doktor itu menyambut kelahiran bayiku. Kalau dia pandai, kenapa dia sibuk nak bedah orang?

Serentak dengan itu, tiba-tiba graf CTG menunjukkan kadar denyutan jantung bayi yang lemah. Doktor mengambil kesempatan untuk mendesakku untuk bersetuju dengan pembedahan. Padahal, sebelum ni pun kadar denyutan jantung bayiku memang sebegitu, terutamanya bila aku mengiring ke kanan. Aku tahu yang doktor itu tahu hakikatnya tiada apa yang tidak kena, namun beliau sengaja menggunakan situasi itu untuk kepentingan beliau.

Maka aku tandatangani jua surat kebenaran pembedahan. Yang pasti, aku tidak akan datang lagi kepada doktor itu.

Pembedahan berjalan lancar. Aku diberi spinal anaesthetic; iaitu hanya bius separuh badan. Aku berbual dengan pakar bius yang duduk di kepalaku. Tiba-tiba, misi membawa seorang bayi kepadaku. “Eh, x bunyi suara pun dia keluar!” Bayi ini berwajah garang, seolah-olah marahkan orang yang mengganggu kenyamanannya di dalam perutku. Aku ketawa melihat wajahnya. 3.73 kg! Ish besarnya! Alhamdulillah. Doktor pun menjahitku kembali.

Adel Irfan

Aku rasakan lama benar pembedahan kali ini berbanding pembedahan pertama. Setelah selesai, aku disorong masuk ke wad.

Penyembuhan kali ini juga aku rasakan lebih sukar berbanding yang pertama. Walhal aku lebih bersedia secara mental dan emosi. Susu hanya keluar setelah 5 hari berbanding waktu melahirkan Aiman (susu keluar pada hari kedua). Mungkin kerana aku lebih banyak tidur selepas melahirkan Aiman berbanding kali ini, di mana aku lebih banyak berjaga. Menyebabkan badanku kurang mendapat rehat untuk sembuh dari pembedahan besar ini.

Sekianlah cerita kelahiran Adel Irfan. Di penghujung cerita ini, ingin aku kongsikan beberapa pengajaran yang aku dapat setelah melalui pembedahan kali kedua ini.

  • Naluri seorang wanita itu tidak diciptakan tanpa sebab oleh Allah. Naluri adalah kurniaan Tuhan yang sangat penting, yang kita harus dengar dan percaya. Apatah lagi naluri seorang ibu. Naluri bukan nafsu. Oleh itu, dengarlah kata naluri kita dan jangan abaikannya.
  • Melahirkan anak adalah tugas kita. Ia merupakan kerjasama antara ibu dan bayinya yang telah diprogramkan oleh Allah sejak azali. Dengar naluri kita, dengar suara tubuh kita, maka kita sebenarnya mampu melahirkan tanpa bergantung kepada doktor. Doktor hanya diperlukan jika berlaku kecemasan. Ibu dan bayi yang sihat insya allah akan dapat lahir tanpa masalah.
  • Jika doktor asyik sebut (walaupun sekali) pasal nak cser kita, sila pertimbangkan untuk mencari doktor lain.
  • Doktor tidak semestinya sentiasa betul. Beliau belajar teori secara umum, namun kita yang lebih mengenali tubuh kita sendiri. Ada doktor yang masih kurang pengalaman, maka kesilapan boleh berlaku. Lebih teruk lagi, ada doktor ( di hospital swasta) yang sengaja mencari peluang untuk mengecaj lebih, terutamanya jika kita di bawah pembiayaan insurans.
  • Pembedahan cesarean bukanlah cara yang paling selamat untuk melahirkan. Perlu diingat bahawa pembedahan cesarean merupakan sebuah pembedahan abdomen yang besar (major abdominal surgery). Pelbagai komplikasi boleh timbul antaranya alahan terhadap ubat bius, lekatan antara organ dengan parut dalaman dan banyak lagi.
  • Setiap wanita yang mengandung MESTI belajar tentang proses kelahiran secara semulajadi. Jangan harapkan doktor saja untuk memberi tunjuk ajar. Kebanyakan doktor tiada masa untuk itu dan hanya akan bertindak mengikut apa yang dia rasa perlu, walaupun kita mungkin tidak mahu mahupun perlukannya. Belajarlah dengan menghadiri kelas antenatal persendirian, ataupun melalui internet dan youtube. Fahami kebaikan dan risiko dari setiap tindakan yang kita ambil.

Wallahu a’lam~

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>