Bukankah ikhlas dan budi bahasa itu bersaudara?

Seringkali kita berhadapan dengan situasi di mana seorang hamba Allah; mungkin rakan atau saudara atau orang yang tidak dikenali, meminta pertolongan kita tentang sesuatu. Sebagai makhluk Tuhan yang ‘berhemah’, mungkin kita akan hulurkan bantuan yang dipinta. Ikhlas atau tidak, itu soal kedua. Apabila kita melakukan sesuatu kebaikan, kita tetap mendapat pahala, tidak kira sama ada kita ikhlas atau tidak. Sebab itulah keikhlasan jatuh ke nombor dua. Namun, setelah dia itu kita bantu, dia terus berlalu tanpa terfikir untuk sekurang-kurangnya mengucapkan “terima kasih”. Apatah lagi memberi sagu hati, atau belanja minum. Memang la kita tidak memintanya dan mungkin tidak mengharapkan apa-apa balasan. Tetapi tentu jiwa kita ini tetap terusik dengan perlakuan sebegitu kan? Lebih teruk lagi, setelah dibantu, ucapan-ucapan pedas yang menjadi halwa telinga. Ini memang sudah keterlaluan!

Sama ada kita sedar atau tidak, situasi ini banyak berlaku dalam masyarakat. Baik yang kaya, yang sederhana, yang berpendidikan tinggi mahupun yang tidak bersekolah. Golongan sebegini memang menyakitkan hati!

Pernah dengar pantun ini, “Orang memberi kita merasa, Orang berbudi kita berbahasa”? Mesti ada sebab kenapa orang-orang tua zaman dahulu buat pantun ini kan?

Nak minta pertolongan dari orang, ada caranya. Kalau kita pandai mengambil hati, orang yang asalnya menolong dengan rasa tak ikhlas pun boleh jadi ikhlas. Tapi kalau kita tak pandai berbahasa, pertolongan yang asalnya ikhlas pun boleh jadi tak ikhlas. Apalah salahnya kalau kita minta pertolongan seseorang tu dengan berbudi bahasa dan bersopan, setelah selesai semuanya, sekurang-kurangnya kita ucapkan terima kasih dan berikan senyuman.

Cuba bayangkan situasi-situasi berikut:

Situasi 1:

Anda dengan sepenuh keikhlasan menumpangkan kawan anda yang nak pergi membeli-belah. Kebetulan anda pun mahu membeli-belah dan tiada teman. Setelah selesai urusan membeli-belah, usahkan nak berkongsi duit minyak, duit parking yang mahal (sebab tunggu dia shopping berjam-jam) pun kawan anda tu tak hulur. Apa anda rasa (walaupun anda sebenarnya tidak mengharapkan apa-apa balasan)?

Situasi 2:

Kawan anda ada urusan di suatu tempat berhampiran rumah anda tetapi dia tidak biasa dengan tempat itu. Anda dengan sepenuh keikhlasan menumpangkan kawan anda itu. Setelah selesai urusan, kawan anda mengajak anda makan dan membelanja anda makan. Walhal anda tidak mengharapkan apa-apa balasan (sepenuh keikhlasan kan). Apa anda rasa?

Situasi 3:

Rakan sekerja anda meminta anda membelikan sesuatu untuknya, dia menghulurkan wang lebih dari harga sebenar barang itu lalu mengatakan yang dia mahukan resit harga barangan yang dia kirim dan berpesan siap-siap supaya anda memulangkan baki wangnya (“jangan keep the change pulak”‘ katanya). Apa anda rasa?

Jawapan-jawapan anda menunjukkan perbezaan reaksi terhadap orang yang berbudi bahasa dengan yang kurang berbudi bahasa. Apabila orang meminta pertolongan daripada kita dengan bahasa yang sopan, kemudiannya menunjukkan penghargaan dan rasa terima kasih atas usaha kita membantunya, sudah tentu kita merasa gembira, dan tidak kisah jika orang itu mahu meminta tolong lagi di masa hadapan. Tetapi jika sebaliknya, usahkan kita merasa gembira, rasa menyesal pula membantu orang yang tidak pandai berbahasa ini. Silap haribulan rasa serik pula. Dapat dilihat dengan jelas bagaimana budi bahasa seseorang berupaya mempengaruhi keikhlasan dalam hati pihak yang memberi pertolongan.

Dalam masa yang sama, kita juga perlu ingat, jika kita tidak suka orang melakukan perkara sedemikian pada kita, kita mesti terlebih dahulu tidak melakukannya kepada orang lain. Jika kita suka orang berbuat baik kepada kita, kitalah yang terlebih dahulu mesti memulakannya. What you give, is what you get back.

Suatu kata hikmat yang ingin saya kongsikan di sini, saya kurang pasti siapa yang mengucapkannya. Namun kata-kata itu memberi makna yang sungguh mendalam.

Ingat 2 lupakan 2;

Ingat kebaikan orang pada kita, lupakan kebaikan kita pada orang.

Ingat kejahatan kita pada orang, lupakan kejahatan orang pada kita.

Sekian, wassalam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>