Tazkirah Ramadhan: Peringatan untuk diriku

Ramadhan tiba lagi. Ada orang yang berasa gembira dan tidak sabar untuk berpesta ibadah, dan tidak kurang juga yang mengeluh mengenangkan bakal terpaksa menahan lapar dan dahaga selama sebulan.

Bulan ramadhan inilah waktu terbaik untuk kita merenung dan menginsafi nasib hamba-hamba Allah yang kurang bernasib baik; fakir miskin yang mengais-ngais mencari sesuap nasi, saudara seagama yang berada di zon perang, hamba-hamba Allah yang ditimpa musibah. Berbuka puasa dengan apakah mereka hari ini? Ada makanan atau tidak? Jika kita sentiasa ingat pada golongan-golongan ini, sudah tentu kita tidak tergamak membazir walau sebiji nasi pun.

Jika kita ingat pada mereka ini, kita tidak akan teringin untuk membeli belah mengikut hawa nafsu kala melawat bazar ramadhan. Kita juga akan lebih beringat untuk tidak makan sehingga terlalu kenyang dan tidak mampu bergerak bak ular sawa kekenyangan. Bukankah bulan ramadhan ini sepatutnya bulan latihan mengawal nafsu? Haiwan di hutan pun pandai makan ikut keperluan, takkanlah manusia yang berakal tak boleh berfikir? Tak gitu? Jika kita tidak berupaya mengawal nafsu kita, bukankah itu bermakna kita sendiri yang merendahkan darjat kita ke tahap yang lebih rendah dari haiwan?

Jangan dilupakan insan-insan yang telah pergi meninggalkan kita. Mereka ini telah selamat menemui tuhan mereka. Kita bila lagi? Kalau kita mati esok, ke syurgakah, atau ke nerakakah kita?

Kepada ibu-ibu yang sedang mengandung, semoga terus tabah menjalani ibadah puasa selama sebulan. Semoga dengan pembawaan budak ini akan menguatkan lagi semangat para ibu untuk terus memperbaiki diri supaya dapat melahir dan membesarkan zuriat yang hidup dan matinya untuk Allah. Alang-alang kita bersusah payah mengandung dan melahirkan anak ini, biarlah sehingga anak ini menjadi anak yang bakal memimpin kita ke syurga Allah kelak. Semoga anak ini lahir menjadi hamba Allah yang berbakti ke jalanNya, seorang manusia yang berakhlak mulia dan bijaksana. Niatkanlah setiap kesusahan kita ini sebagai jihad lillahi ta’ala kerana hanya Allah yang selayaknya memberi ganjaran atas setiap amalan hambaNya. Insya Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>